“Barangsiapa yang mengerjakan ibadat pada bulan Ramadhan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis)
Tetapi, pernahkah kita muhasabah diri dan menghayati makna sebenar bulan Ramadhan yang di berikan Allah kepada hamba-hambaNya setiap tahun? Sejauh mana penghayatan kita dalam menjadikan Ramadhan ini sebagai “Marhalah Tarbiyah” atau “Madrasah Ramadhan” atau “ Universiti untuk mendapatkan Ijazah” untuk menjadikan kita hambaNya yang berterusan bermujahadah dalam melaksakan ibadah dan mendekatkan diri pada Khaliqnya.
Ramadhan adalah bulan yang seringkali kita kaitkan dengan solat tarawikh, sedekah, nuzul Qur’an, Perang Badar, misalnya dan biasanya apa yang kita tungu-tunggu adalah malam “Lailatul Qadar” yang jatuh pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Allah telah berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para Malaikat dan Ruh (Jibril) dngan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (al-Qadr:1-5)
‘Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah malam Lailatul-Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan”.
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Apaila meneliti ganjaran yang akan Allah berikan kepada mereka yang beribadat padaNya, betapa “Rahimnya” DIA, sang Pencipta yang sangat Pemurah dan Penyayang kepada hambaNya. Ikhwan dan akhawatku sekalian, apa yang lebih penting dalam bulan Ramadhan ini adalah bukan semata-mata banyaknya ibadah kita untuk mendapat ganjaran pahala dariNya, tetapi adalah untuk mendidik hati kita supaya melakukan suruhannya sama ada wajib atau sunat adalah untuk menjadikan kita hamba yang sentiasa ikhlas melakukan ibadat dan untuk mendapat redhaNya, bukan untuk membang-bangga diri atau menunjuk-nunjuk dengan orang lain.
Nafsu seringkali kita kaitkan dengan sesuatu yang jahat. Tetapi, sebenarnya terdapat juga nafsu yang baik. Apabila kita dididik untuk berpuasa, ia menjadikan kita hamba yang sentiasa bersabar. Sifat sabar adalah sifat yang sangat penting dalam diri terutamanya dalam melakukan pelbagai perkara, misalnya solat fardhu yang wajib kita laksanakan lima kali sehari semalam atu berpuasa selama sebulan untuk melengkapkan bulan Ramadhan. Pelbagai ujian dab mehnah untuk melaksanakan tugas berpuasa jika tidak ada sifat sabar yang tinggi. Terdapat juga maksud hadis yang bermakna, “sabar itu separuh daripada iman.”
Selain itu, bulan Ramadhan mengajar kita erti bersyukur. Ini kerana, kebiasaannya kita suka bersedekah tidak kira siapan pun mereka dan sedekah terutamanya di berikan kepada faqir miskin atau kebiasaannya di berikan kepada anak-anak yatim. Apabila kita dapat dan boleh menginfaqkan sedikit harta yang kita ada,ini bermakna kita bersyukur dengan segala yang kita perolehi dariNya. Walaupun mungkin hanya sedikit sahaja yang kita sedekahkan dan berikan kepada orang lain, ia amat bermakna sekali kerana ganjarannya amat besar disisi Allah s.w.t .Seperti yang terkandung dalam al-Qur’an, maksud firman Allah s.w.t :
“Perumpamaan orang yang meinfaqkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui”.
(al-Baqarah:261)
Infaq ini juga menunjukkan kita seorang yang prihatin dan mengetahui bahawa harta yang kita ada dan miliki hari ini bukan “hak milik kita” tetapi adalah “hak ALLAH S.W.T “ yang boleh di tarik nikmatnya pada bila-bila masa sahaja.
Seterusnya, Ramadhan Kareem ini membantu kita mengawal nafsu diri. Ini dapat di kaitkan dengan bulan Ramadhan itu sendiri, di mana kita menahan lapar dan dahaga untuk melaksanakan rukun Islam yang keempat untuk melakukan suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Apabila kita dekat dengan Allah dan sentiasa beribadah kepadaNya, Allah membantu kita untuk mermujahadah daripada melakukan perkara-perkara yang lagha atau maksiat. Apabila kita berjaya berpuasa seharian, ia menunjukkan kita berjaya melawan nafsu diri kerana nafsu adalah perkara yang sangat susah untuk kita lawan jika kita tidak benar-benar bermujahadah dan istiqamah beribadah hanya keranaNya.
Ramadhan ini juga menjadikan kita hamba yang lebih mencintai Allah s.w.t. Kecintaan kepada Allah adalah sesuatu yang sangat subjektif, ia tidak dapat di lihat oleh mata kasar tetapi di rasai oleh jiwa-jiwa yang lembut hatinya dan lunak suranya kepada Allah s.w.t . Ibadah kepada Allah bukan kerana ganjaran pahalaNya semata tetapi adalah untuk merasai ketenangan dan kabahagiaan hidup bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Apabila kita seronok melakukan ketaatan kepadaNya, jiwa dan hati kita akan mudah merasai nikmat yang diberikanNya kepada kita dan menjadikan kita hamba yang redha dengan segala ketentuanNya.
Kesimpulannya, sebagai hamba yang lemah, marilah sama-sama kita merebut peluang dan kesempatan yang ada ini untuk meraih ganjaranNya yang besar diakhirat kelak. Rugilah kita, jika kita mensia-siakan peluang yang ada ini dengan membiarkan ia berlalu hari demi hari tanpa pengisian yang banyak kerana belum tentu lagi Ramadhan ini kita dapat habiskan kewajipan kita dan belum tentu juga kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramdhan ini pada masa hadapan kerana ajal pertemuan di tanganNya dan tanpa kita duga. Maka, bersama-samalah kita menghiasi Ramadhan ini dengan hiasan ‘Iman’ dan ‘Taqwa’.
No comments:
Post a Comment